Seminar senibina Melayu 2020, Karai. (Slide2 pembentangan boleh dimuaturun di sini) Seminar Warisan Senibina Melayu telah di adakan pada 20hb Januari 2020 di Karai, Perak. Bertempat di D'village@Victoria Bridge, berhampiran Kuala Kangsar. Dianjurkan oleh Persatuan Pencinta senibina Melayu (www.senibinamelayu.com.my). dengan tema yang agak panjang, "Ke Arah Penerapan Senibina Melayu Dalam Rekabentuk Kontemporari, Bagi Menjamin Kelestarian Warisan Bangsa Kekal sepanjang Zaman”. (Sumber foto: www.senibinamelayu.com.my) Seramai 4 orang penceramah jemputan membentangkan kertas kerja masing2. Ucapan Aluan dianjurkan oleh Presiden Persatuan Pencinta Senibina Melayu, Ar. Meor Zawari Hassan. Ia dirasmikan oleh Tuan Haji Zulkarnain, Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar. Penceramah jemputan adalah Ar Dr. Mastor Surat, Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia.. Ar Kamaludin Adam, Prinsipal; Arkitek Ibnu Adam. Arkitek Azman Zainal Md. Nor dan Arkitek Nasharuddin Abdul Majid. Seminar dihadiri Kira2 50 peserta dari serata negara. Terdapat demonstasi seni kraf dan makanan tradisi Melayu Perak di beberapa kiosk yang disediakan. Ar. Dr Mastor Surat memulakan pembentangan dengan tajuk “Penerapan teras dan Lunas Senibina Melayu Dalam Membentuk Identiti Senibina Malaysia”. Beliau memulakan pembentangan dengan menelusuri definisi Melayu dari segi sejarah dan antropologi. Beliau mengusulkan bahawa pengaruh dan kesan senibina Melayu sebenarnya telah terbentuk lebih awal dari yang diterima. Bahkan majoriti piramid di dunia ini terdapat unsur pengaruh Melayu. Ini berlandaskan saranan beliau iaitu diaspora Melayu sebenarnya telah tersebar luas ribuan tahun sebelum Masihi dengan kemahiran pelayaran yang terbukti unggul pada zaman lampau. Yang menarik apabila beliau menggariskan 43 Lunas senibina Melayu yang boleh digunakan dalam senibina kontemporari. Tiga teras dasar tradisi senibina melayu: insan, alam dan tuhan, menawarkan banyak penyelesaian kepada dunia moden. Ia berpotensi sebagai penawar kepada penyakit yang dibawa oleh falsafah moden. Untuk memahaminya perlulah ditela'ah lebih dari setakat rupa, bentuk dan teknik senibinanya, tetapi harus diselami dasar falsafahnya. (slide pembentangan boleh di muaturun di sini) Ar Kamaludin bin Adam, dari Arkitek Ibnu Adam, membentangkan tentang konsep senibina hidbrid, iaitu gabungan tradisi dan moden. Ianya dibincangkan melalui empat projek beliau, kesemuanya Banglo persendirian. Antara yang dibahaskan ialah mencari keseimbangan antara kehendak dan keperluan. Kadang2 kehendak arkitek itu sendiri melampaui keperluan dan mempunyai impak negatif. Juga dipersoalkan soal tentang mindset pelanggan yang walaupun dahulunya membesar di dalam senibina tradisi, tetapi tidak boleh menerimanya kini dalam suasana moden. Contohnya serambi terbuka dahulunya adalah sebahagian ciri2 rumah Melayu, tetapi kini mereka mempersoalkan tentang serangga dan habuk. (slide2 boleh didapati di sini) Ar Azman Zainal membentangkan beberapa projeknya di bawah tajuk “Unsur2 KeMelayuan dalam Senibina Kontemporari di Malaysia. Tiga teras jiwa melayu ialah Islam, Adat Resam dan Alam persekitaran. Beliau menegaskan bahawa kita sebenarnya sudah beridentiti, Cuma isunya bagaimana hendak menzahirkan identiti tersebut di dalam senibina. Identiti Jiwa Melayu adalah: sederhana, tawaduk, tidak lantang, susah berkonfrontasi, sopan santun, toleransi tinggi, seni dan sensitif, sentimental dan lembut hati. Seterusnya beliau membentangkan beberapa projek rumah yang rata2nya dibawah Rm 1juta nilai projeknya. Ini kerana katanya manusia perlukan rumah yang tidak seharusnya lebih besar dari 4,000 kaki persegi. Menggunakan kayu, beliau mengamalkan prinsip “cipta dan buat”, dimana arkitek sendiri terlibat dalam pembinaan. Untuk membina dengan kayu beliau mempunyai tukang sendiri yang akan membuat setiap projek beliau. Penggunaan pasak amat dititikberatkan kerana penggunaan logam seperti paku dan bolt akan merosakkan kayu. Suatu kajian sedang diusahakan olehnya dengan UTM untuk mengira kekukuhan pasak berdasarkan saiz dan sebagainya. Kayu Merbau lebih sesuai digunakan sebagai pasak kerana ia kasar, berbanding dengan Cengal yang terlalu licin untuk dijadikan pasak. Antra projek yang dibentangkan ialah, Rumah Dr Tajuddin di MCKK, Rumah Taib di Kg Pandan, Mimbar Masjid Jamek Kuala Lumpur 2011, Cadangan Istana Sultan Brunai 2012, Rumah Ita, Port Dickson 2011, rumah beliau sendiri, Anjung Kelana, Batu 4, Port Dickson dan rumah Ku Jaafar, Presint 11, Putrajaya. Antara Konsep yang diterapkan ialah penggunaan kayu, pengudaraan semulajadi, ruang masuk keluar beransur. (slide2 boleh dimuaturun di sini) Arkitek Nasharudin Abdul Majid membentangkan beberapa projek konservasinya dan menghuraikan cabaran dan masalah yang dihadapi. Antara projek beliau ialah makam Sultan Siak dan Rumah Haji Su di Terengganu. Beliau juga mencadangkan pemuliharaan Surau kampung Dusun, Jenagor di Hulu Terengganu yang dibina pada 1908. RUmah Tengku Teh, Dungun, 1890an. Rumah Terengganu berevolusi dari rumah bujang, rumah bujang berselasar, rumah bujang kembar 2 dan 3. Kerja pemulihan tidak hanya berdasarkan arkib yang dirujuk, bahkan penceritaan lisan dari penghuni dan penduduk setempat. Antara isu yang beliau bangkitkan ialah kebanyakan projek konservasi hanya menekankan restorasi tetapi tidak kesinambungan penyelenggaraan dan kelangsungan binaan tersebut. Isu ini seterusnya dibangkitkan dalam jawapan balas semasa sesi soal Jawab. (Slide2 boleh dimuaturun di sini) Beberapa Isu dibicangkan semasa sesi soal jawab. Antaranya tadi disebutkan isu polisi Jabatan Warisan yang kadangkala mengekang proses pemuliharaan yang berkesan. Namun Pengarah jabatan warisan yang ada di sesi ini, menyatakan polisi ini adalah yang termaktub namun ia boleh ditambahbaik dan Jabatan mengalu2kan penambahbaikan yang boleh dicadangkan. Sementara kelestarian binaan yang telah dikonservasi, Pihak jabatan menyatakan bahawa bukanlah tanggungjawab Jabatan Warisan untuk terus menyelenggara projek yang telah diwartakan. Setiap projek tersebut bukanlah milik Jabatan Warisan. Jabatan hanya mewartakan sahaja dan memberi sedikit bantuan dana untuk pemuliharaan. Seorang Peserta dari UiTM Seri Iskandar bertanya tentang cara yang sesuai dan efektif untuk menterjemahkan konsep senibina di dalam hasil kerja pelajar. Arkitek Dr. Mastor mengatakan antara caranya ialah menerapkan seberapa banyak dari 43 prinsip teras dan Lunas senibina Melayu yang dibentangkan tadi.
Seorang Peserta dari UPM pula menyatakan pendapat bahawa perlunya pelopor senibina Melayu bermain secara offensive dan tidak hanya dengan mode ‘bertahan’ dan ‘memelihara’. Sedangkan minda falsafah senibina Melayu mempunyai potensi untuk merawat kebobrokan senibina moden yang tercari2 akan penyelesaian yang lebih holistik dan lestari. Ar Mastor mengatakan ini memang cabaran yang harus diteroka oleh kesemua pencinta senibina Melayu. Ar Azman pula mengatakan perlunya bersifat offensive ini untuk mengenengahkan keindahan dan kebaikan senibina Melayu. Kita sendiri perlu menonjolkannya dalam rekabentuk senibina kita tanpa menunggu sehingga ia diterima sebagai tren. Seminar berakhir kira2 jam 5.30 petang. Brosur seminar Muaturun slide2 pembentangan 23 Januari 2020 (c) Zaky Jaafar 2020
2 Comments
Ar. Mohd khir
1/23/2020 07:40:20 am
Alhamdulilah.. Satu cetusan pengerak Dan pemangkin kepada Nilai2 senibina tradisi Dan kontemporari wajib diketengahkan demi kesinambungan warisan senibina tradisi Melayu yg penuh dengan mistik Dan senihalus yg menawan....
Reply
Zaharudin bin Saaya
1/23/2020 03:18:29 pm
Tahniah! Berjaya menganjurkan seminar tersebut. Saya cadangkan seminar diteruskan setiap tahun dengan membuka luas kpd semua pencinta Konsep Rumah Melayu. Boleh adakan parellel session.
Reply
Leave a Reply. |
PenulisPenulis merupakan seorang penyelidik di universiti tempatan yang berkongsi pengalaman dari pengajaran, penyelidikan dan perundingan beberapa projek yang berkaitan dengan bidang senibina. Baca lagi
|