Sebuah rumah tradisi Melayu Melaka berdiri megah di lereng bukit di Kampung Ulu Buyau, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Rumah ini boleh dianggap "orang baru" di kampung ini kerana ia baharu sahaja tiba. Walaupun usianya mungkin mencecah 60 tahun, tetapi ia telah dibawa dari tempat asalnya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka pada 2018. Pemiliknya, Dr Muhammad Pauzi Abd Latif, seorang peminat dan pakar pemindahan rumah Melayu lama, telah lama mengusahakan projek membeli rumah tradisi Melayu dan memindahkannya ke lokasi baharu. Kalau sebelum ini dia melakukannya untuk pihak lain, kali ini dia membuatnya untuk rumah kediamannya sendiri. Rumah ini dibeli oleh beliau pada tahun 2018 dengan harga RM7,000. Kos membuka memindah dan memasang adalah tambahan urusannya sendiri. Kerja2 pemasangan semula bermula awal 2019 dan siap di akhir tahun itu. Ia menggambil masa hampir 10 bulan kerana faktor hujan yang kerap. Beliau menggunakan 4 orang tenaga pekerja yang memang merupakan ahli pasukan untuk setiap projeknya sebelum ini. Kesemua mereka dari Malang, Indonesia. Lokasi rumah ini sangatlah indah, dilereng bukit dan dikelilingi Gunung Angsi dan Gunung Jonoh. Pemandangan waktu pagi berkabus setanding dengan tempat percutian tanah tinggi yang lain di Malaysia. Sebagaimana kebanyakan rumah Melaka di era itu, ia mempunyai serambi terbuka yang menjadi ruang melayan tetamu. (Dikatakan ciri serambi terbuka ini menjadi amalan orang Melaka di zaman dahulu kerana ia merupakan tempat bermalam secara percuma kepada pedagang yang ramai singgah di Pelabuhan Melaka. Mereka hanya datang di malam hari dan akan beredar menjelang pagi-penulis). ketika penulis duduk berbual bersama pemilik kira2 pukul 2 tengahari, suasana sangatlah nyaman dan selesa. Boleh dibayangkan betapa selesanya berada dalam suasana seperti ini yang kini hanya boleh didapati di resort2 bertema tropika yang harganya sangat mahal. Selain itu, keunikan rumah Melaka Masjid Tanah ialah sebahagian dinding serambinya ditutup tingkap labuh berdaun kaca warna warni. Tangganya pula dibina baharu menyerupai tangga rumah Melaka. Namun beberapa Jubin dekorasi yang digunakan adalah Jubin asli yang diperolehi dari koleksi beliau sendiri. Satu lagi keunikan yang boleh dilihat ialah penggunaan jeriji besi berkelok untuk tingkap dan bahagian atas penghadang serambi. Menurut Dr Pauzi besi yang digunakan sukar didapati kerana apabila corak sebegini cuba dibuat tukang besi sekarang, biasanya besi tersebut akan patah.
Rumah kayu ini mempunyai sebuah bilik sahaja di bahagian rumah ibu. Namun Dr Pauzi telah menambah binaan batu di belakang rumah ibu dan menambah 2 bilik tidur, ruang makan, dan bilik air. Ini sebenarnya memang menjadi kelaziman binaan rumah Melayu Melaka masa kini seperti di tempat asalnya. Atap yang digunakan ialah Onduline, lebih sejuk berbandingkan atap zink ataupun asbestos. Diharapkan semoga usaha Dr. Pauzi memelihara warisan senibina yang unik ini, yang menyimpan berbagai pengetahuan, dapat menjadi sumber ilmu dan kepandaian silam untuk dikaji generasi akan datang. ZJ (c) 2020
10 Comments
|
PenulisPenulis merupakan seorang penyelidik di universiti tempatan yang berkongsi pengalaman dari pengajaran, penyelidikan dan perundingan beberapa projek yang berkaitan dengan bidang senibina. Baca lagi
|