Sebelum ini blog ini pernah menyentuh tentang petua menjadikan rumah kita lebih sejuk (lihat di sini) Kali ni kita fokus kepada salah satu aspek dalam menjadikan rumah kita lebih selesa dari segi termal (haba). Oleh itu kepada yang ingin membina atau sedang shopping rumah baharu, belilah kompas yang murah dan diletakkan di dalam kereta anda untuk anda semak arah sewaktu melawat ke rumah2 yang diingini ataupun semasa melawat tapak lot. Kenapa nak beli rumah tengok kompas? Supaya kita tahu arah matahari naik dan turun. Kalau pagi dan petang mungkin boleh nampak mana matahari naik dan turun, tapi kalau tengah hari payah juga, apatah lagi malam. Kenapa pula kena tahu arah matahari? Jawabnya mudah, supaya rumah lebih selesa, jimat bil pendingin hawa, lebih sejuk. Kalau kita ada pilihan dalam memilih unit rumah dalam beberapa lokasi, selain dari faktor harga dan logistik, kita juga boleh mengambil kira orientasi rumah tersebut sebagai pertimbangan. Maksud orientasi adalah, kemana halanya 4 sisi rumah kita itu, mana keutara? mana keselatan? Mana timur? Mana barat?. Kerana ia mempengaruhi faktor persekitaran dari segi haba dan cahaya. Disini saya ingin menyatakan perbincangan ini tidak mengambil kira faktor2 lain yang mungkin bagi sesetengah orang lebih penting, seperti Fengshui, petua lama dan sebagainya. Ia terpulang mana yang lebih penting bagi setiap individu. Di sini kali ini saya akan bincangkan garispanduan untuk memilih rumah teres tengah (intermediate). Ini adalah jenis rumah yang terbanyak di pasaran buat masa ini. Walaupun tren ekonomi masakini akan menjurus kepada pangsapuri dan kondominium. Rumah teres tengah ciri-cirinya mudah difahami. Ianya memanjang dari hadapan ke belakang. Tingkap, sliding door, pintu masuk dan pintu belakang hanya berada di tampak hadapan dan belakang. Dinding tepi dibatasi oleh rumah jiran kiri dan kanan. Jadi dinding berjiran ini memang sentiasa terlindung. Yang perlu di beri perhatian ialah di mana dinding hadapan itu dihadapkan. Dinding hadapan paling senang menerima haba masuk kerana di sini biasanya terdapat Tingkap master bedroom, dan sliding door yang besar. Secara umumnya, bagi rumah teres, tingkap atau sliding door yang besar atau dinding terdedah yang luas hendaklah dielakkan dari menghadap barat atau timur, arah matahari naik dan turun. Ini kerana haba dan cahaya silau banyak datangnya dari kedua2 arah mata angin ini. Seandainya ruang tamu dan bilik tidur utama kita menghadap ke barat, kita akan menghadapi masalah panas dan silau dari pukul 3 hingga ke pukul 6 petang. Begitu juga sekiranya kita menghadap ke timur, matahari naik. Dari segi masa pendedahan kepada matahari, pagi dan petang sama sahaja. Tetapi matahari pagi memancar ke bumi ketika udara masih sejuk, jadi pada awalnya ia agak menyegarkan. Namun selepas pukul 8 pagi ke atas keadaan mula memanas. Oleh itu arah yang sesuai adalah utara dan selatan. Kesimpulannya pastikan dinding hadapan ini (tampak hadapan) rumah teres menghadap utara atau selatan. Elakkan dari menghadap barat atau timur. namun sekiranya hanya ada dua pilihan antara timur dan barat, maka pilih lah yang menghadap timur, kerana matahari pagi lebih segar dan akan sejuk di sebelah petang. Menghadap barat paling teruk kesan haba kerana kepanasan habanya akan berlarutan hingga ke malam. Untuk mudah faham saya simpulkan panduan menerusi gambarajah di bawah: Untuk rumah teres lot tepi pula, agak sulit sedikit. Ini kerana sekiranya pintu hadapan dan sliding door ruang tamu menghadap keutara atau selatan, maka dinding tepi yang memanjang akan terdedah kepada timur atau barat. Walaupun sekiranya tingkap yang ada di dinding timur atau barat kecil sahaja, ia tetap menjadi masalah haba. Ini kerana dinding yang terdedah kepada pancaran matahari akan menyerap haba secara perlahan2. Walaupun lambat ia tetap akan jadi panas. Mungkin kita pernah berjalan berkaki ayam di atas permukaan simen yang terkena pancaran matahari, panas bukan? Begitu juga dinding bila terkena pancaran matahari. Ia jadi panas. Dan kepanasan ini akan berterusan walaupun ketika udara mula menjadi sejuk di waktu petang dan malam. Akibatnya rumah batu biasanya panas di malam hari, ini kerana dinding yang siangnya tadi menyerap haba perlahan2, akan melepaskan haba ini perlahan2 ke dalam rumah sampai ke malam hari. Walaubagaimanapun, sekiranya arah barat atau timur rumah itu terdapat bukit atau tebing yang tinggi, ataupun bangunan yang lebih tinggi maka ia tidak jadi masalah. Cuma pastikan sekiranya dinding itu menghadap barat, bukit atau bangunan itu memberi bayang2 kepada dinding rumah anda bermula dari pukul 2 petang sehingga 6 petang . Bagi dinding yang menghadap timur pula, pastikan perlindungan bayang dari matahari naik sehingga ke pukul 11 tengahari. Sekiranya tiada tebing, bukit atau bangunan lain, maka cara2 ini pula boleh di ambil, tanam pokok yang bersesuaian, bina laluan kaki lima berbumbung atau buat balkoni berbumbung. Ini semua membantu mengurangkan pancaran matahari terkena dinding seara terus. InsyaAllah di lain kali kita akan bincangkan tentang rumah banglo pula.
0 Comments
Leave a Reply. |
PenulisPenulis merupakan seorang penyelidik di universiti tempatan yang berkongsi pengalaman dari pengajaran, penyelidikan dan perundingan beberapa projek yang berkaitan dengan bidang senibina. Baca lagi
|